1.0 Pendahuluan
Perkhidmatan audiologi merupakan satu perkhidmatan yang penting bagi individu bermasalah pendengaran yang memerlukan pengesanan dan tindakan awal, penjagaan dan perlindungan yang sesuai. Masalah pendengaran merupakan masalah yang serius sekiranya tidak ditangani dari peringkat awal kerana ia bukan sahaja menyebabkan seseorang tidak dapat mendengar tetapi bahkan ia juga memberi kesan terhadap perkembangan pertuturan seterusnya mekanisme komunikasi individu.
2.0 Maksud Audiologi
Audiologi menurut kamus ialah kajian keseluruhan tentang pendengaran. Ini merangkumi kajian tentang anatomi dan fungsi telinga, masalah pendengaran , penilaian dan rawatan kepada orang yang kehilangan pendengaran. Laman web medical buffalo education pula menyatakan istilah audiologi merujuk kepada sains pendengaran. Iaitu mendefinisikan audiologi sebagai satu disiplin yang melibatkan pencegahan, pengenalan serta penilaian masalah pendengaran, pemilihan dan penilaian alat bantu pendengaran serta habilitasi atau rehabilitasi individu yang mempunyai masalah pendengaran. Manakala menurut pakar audiologi dari unit auditori Jabatan Otorhinolaryngology Hospital Sibu, Cik Nahazatul Islia Jamari pula menyatakan bahawa audiologi merupakan satu bidang yang berkaitan dengan kajian pendengaran normal dan tidak normal. Ia melibatkan tugas disiplin audiologi yang merangkumi pencegahan, pengenalpastian, penilaian pendengaran , pemilihan serta penilaian alat bantu dengar dan pengendalian program rehabilitasi bagi individu yang mengalami masalah pendengaran.
Berdasarkan beberapa definisi audiologi tersebut, dapat disimpulkan bahawa audiologi merupakan satu bidang yang berkaitan dengan pendengaran dan semua masalah yang timbul berkaitan dengannya. Oleh itu audiologi dapat menentukan samada seseorang individu dapat mendengar dengan baik atau tidak. Audiologi juga akan memastikan dan mengesahkan samada seseorang individu itu mempunyai masalah pendengaran serta menjelaskan jenis masalah pendengaran yang dihadapi. Masalah pendengaran yang dihadapi akan dianalisis serta diberikan bimbingan dan pilihan kepada individu yang terlibat untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Rehabilitasi auditori pula adalah terapi atau latihan fizikal yang direka oleh pakar audiologi untuk membantu individu yang mengalami masalah pendengaran. Ianya mempunyai matlamat yang jelas dan pendedahan mengenai alat bantuan mendengar kepada individu yang terlibat dan perkhidmatan profesional yang diberikan.
3.0 Bidang tugas dan peranan seorang audiologis serta kepentingan bidang audiologi kepada golongan bermasalah pendengaran.
Audiologis ialah professional yang bertauliah yang terlibat dalam pencegahan , pengenalpastian, penilaian dan pengurusan individu-individu yang mengalami masalah pendengaran. Kelazimannya pakar audiologis ini bekerja di hospital atau pusat perubatan, sekolah, industri, Pusat intervensi awal, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan, Universiti dan juga di Pusat Audiologi persendirian. Seorang pakar audiologi mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang audiologi, akustik dan elektronik, anatomi dan fisiologi, patologi pertuturan dan bahasa, psikologi, fonetik dan linguistik, statistik dan kaedah penyelidikan serta perlu menjalani latihan klinikal. Bidang tugas dan peranan seorang audiologis antaranya ialah memberikan perkhidmatan ujian pendengaran pada kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami masalah pendengaran. Ujian pendengaran dijalankan dengan menggunakan peralatan khusus untuk mengekalkan kesahan keputusan berkaitan kehilangan pendengaran. Audiologis akan melakukan pemeriksaan secara terperinci terhadap gegendang telinga menggunakan otoskop, menjalankan ujian diagnostik dan menyiasat sejarah perubatan yang mungkin mempunyai kaitan dengan masalah pendengaran. Oleh itu individu yang mengalami masalah pendengaran boleh mendapat faedah dengan bantuan alat bantu dengar melalui perkhidmatan audiologis yang lebih memahami aplikasi terbaru teknologi alat bantuan pendengaran.
Bidang tugas dan peranan seorang audiologis antaranya ialah memberikan perkhidmatan saringan pendengaran pada neonat, bayi dan kanak-kanak. Pakar audiologi akan mendiagnosis masalah pendengaran pada kanak-kanak dan mengenal pasti kehilangan pendengaran kanak-kanak pada setiap peringkat yang berbeza. Ini termasuk mendiagnosis serta ujian pendengaran ke atas bayi yang baru dilahirkan serta kanak-kanak. Audiologis akan membekalkan terapi pendengaran serta memakaikan alat bantu pendengaran yang sesuai dengan kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran.
Ibu bapa dan individu yang mempunyai masalah pendengaran boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar audiologi dalam mendapatkan khidmat nasihat mengenai pemakaian dan penjagaan alat bantu pendengaran. Pakar audiologi juga berhak menilai, memilih dan mendispensi alat bantuan pendengaran. Selain itu pakar audiologi juga memberikan perkhidmatan untuk pelajar sekolah. Audiologis membekalkan sepenuhnya perkhidmatan pemulihan pendengaran di sekolah-sekolah awam kerajaan mahupun swasta bagi semua tahap pendidikan. Perkhidmatan yang diberikan lebih mengutamakan perkembangan pertuturan, bahasa dan kemahiran pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak bermasalah pendengaran. Audiologis juga berperanan dalam bidang kaunseling. Seorang audiologis mempunyai sifat yang mengambil berat dan mempunyai kemampuan pendengaran yang baik. Oleh itu audiologis membekalkan kaunseling secara individu untuk membantu individu bermasalah pendengaran agar dapat berinteraksi dengan lebih efektif dalam kehidupan social, pendidikan dan persekitaran pekerjaan. Audiologis juga membantu golongan yang berusia untuk mendengar dengan lebih baik.
Audiologis juga berperanan menjalankan program pemuliharaan kemampuan pendengaran. Pendedahan kepada bunyi-bunyi bising yang keterlaluan secara berterusan boleh menyebabkan kehilangan pendengaran kekal. Sehubungan itu, audiologis bertanggungjawab terhadap pencegahan kehilangan pendengaran. Iaitu melaksanakan program-program untuk melindungi pendengaran individu-individu yang terdedah kepada kebisingan persekitaran industri atau situasi taman rekreasi. Kajian berkaitan pendengaran juga merupakan bidang tugas dan peranan audiologis. Audiologis terlibat dalam pelbagai aktiviti kajian untuk membangunkan teknik-teknik penilaian pendengaran dan teknologi pemuliharaan baru. Khususnya dalam inovasi penggunaan alat bantuan pendengaran. Audiologis juga berperanan dalam penulisan buku-buku teks dan jurnal berkaitan pentaksiran dan penilaian pendengaran, alat bantuan pendengaran dan pengurusan individu yang mengalami kehilangan pendengaran. Pakar audiologi juga berperanan memberikan latihan auditori kepada individu yang memerlukan memberi khidmat rundingcara mengenai konservasi pendengaran kepada syarikat-syarikat dan juga industri. Audiologis juga merupakan individu yang memberi nasihat dalam pemilihan sistem amplikasi bilik darjah untuk murid-murid bermasalah pendengaran. Ini meliputi alat bantuan pendengaran peribadi dan sistem FM.
Di samping itu pakar audiologi juga bertanggungjawab dan turut serta bersama profesional lain dalam memilih calon yang sesuai untuk implan koklea serta melakukan pemetaan koklea.Bidang audiologi berfungsi untuk menangani masalah yang berkaitan dengan pendengaran. Kepentingan bidang ini adalah dikhususkan untuk mempelajari keadaan pendengaran normal dan kerosakan pendengaran, pencegahan dari masalah pendengaran serta mengenal pasti dan mentaksir pendengaran, menangani masalah-masalah pendengaran dan rehabilitasi individu yang bermasalah pendengaran serta menangani ketidaknormalam pendengaran tersebut. Oleh itu bidang audiologi ini amat memberi kepentingan kepada golongan bermasalah pendengaran untuk memupuk kemahiran berkomunikasi dengan pesakit atau Khidmat nasihat alat bantuan pendengaran yang sesuai kepada individu yang memerlukan pelanggan dan keluarga dalam diagnosis ketidakupayaan pendengaran dan memberikan bimbingan dalam proses rehabilitasi.
Selain dari itu bidang audiologi juga amat berperanan kepada golongan bermasalah pendengaran dalam memberikan rawatan, meningkatkan kemajuan teknologi dan rancangan untuk membantu individu yang mempunyai masalah pendengaran dan ketidakupayaan yang berkaitan. Bidang audiologi ini amat berkepentingan kepada masyarakat khasnya golongan bermasalah pendengaran. Perkhidmatan yang dijalankan seperti memberikan khidmat kepada pesakit yang mempunyai masalah pendengaran di semua peringkat umur. Bermula dari bayi yang baru dilahirkan sehingga ke peringkat orang yang telah lanjut usia. Bidang audiologi ini juga berperanan melakukan diagnosis, rawatan dan pemulihan kepada individu yang mengalami masalah hilang pendengaran.
Selain itu menyediakan program-program rehabilitasi pendengaran serta menyediakan ahli-ahli yang profesional seperti pakar audiologi, pakar patologi bahasa-pertuturan dan otolarinkologi. Oleh itu individu bermasalah pendengaran akan dapat faedah daripada perkhidmatan-perkhidmatan yang oleh pakar yang berkaitan masalah yang dihadapi oleh mereka. Perkhidmatan nasihat dan kaunseling mengenai masalah pendengaran turut diberikan melalui perkhidmatan audiologi ini. Ini bagi memberi dan menyalurkan pengetahuan serta maklumat yang betul kepada individu berkenaan terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai masalah pendengaran. Antaranya membantu pesakit dan keluarga menyesuaikan diri dengan keadaan kehilangan pendengaran, menggunakan sepenuhnya faedah alat bantuan pendengaran, implan koklea dan alat-alat lain yang boleh membantu proses komunikasi. Teknik penjagaan dan pemakaian alat bantuan pendengaran yang betul. Khidmat nasihat mengenai penempatan dan penempatan semula murid turut diberikan.
Perkhidmatan audiologi juga berperanan memberi pendidikan kepada ibubapa yang mempunyai anak-anak bermasalah pendengaran dari segi mendengar, bertutur dan menggunakan bahasa. Menyediakan program bagi kanak-kanak bermasalah pendengaran dengan memberikan kaunseling, menggalakkan penglibatan ibu bapa dan menyediakan rancangan yang sesuai kepada setiap kanak-kanak. Perkhidmatan audiologi juga berkepentingan menyediakan program bagi orang dewasa yang bermasalah pendengaran dengan mengadakan latihan auditori dan terapi pertuturan,rancangan rawatan individu dan pendidikan berterusan tentang kehilangan pendengaran dan strategi untuk membantu proses komunikasi.
Selain itu program saringan pendengaran luar sekolah turut diadakan di pusat audiologi. Ia juga menjalankan latihan dalaman kepada individu dan ibu bapa murid bermasalah pendengaran, guru-guru pendidikan khas serta orang awam yang berminat. Penggunaan amplifikasi di sekolah juga adalah di bawah pengawasan pusat audiologi. Misalnya, perkhidmatan yang dijalankan di Klinik Audiology & Sains Pertuturan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia menawarkan perkhidmatan pengenalpastian masalah pendengaran dalam kalangan bayi, kanak-kanak, orang dewasa dan juga kepada warga tua.
Selain itu ia juga mempreskripsi alat bantu dengar atau alat tumpu dengar seperti sistem FM. Selain dari menguji dan memantau keberkesanan alatan tersebut, pusat ini juga memberi khidmat nasihat dan kaunseling kepada ibu bapa dan individu yang memerlukan pengetahuan dan maklumat tentang penggunaan alat bantu dengar dan juga permasalahan mengenai masalah pendengaran. Klinik ini juga turut merujuk kes-kes tertentu kepada pakar telinga, hidung dan tekak, psikologi, pakar kanak-kanak sebagainya. Klinik ini juga memberi khidmat pacakan koklea implan dan kemudahan membuat acuan telinga dan menjual alat bantuan pendengaran. Oleh itu dalam menangani masalah pendengaran, audiologis boleh membantu mengesan masalah pendengaran dan imbangan yang dihadapi oleh seseorang individu serta membekalkan rawatan bukan perubatan serta khidmat nasihat. Peranan yang dimainkan oleh audiologis dan pusat audiologi ini amat besar kepentingannya kepada masyarakat dan golongan bermasalah pendengaran khasnya dalam usaha membantu golongan tersebut untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan bermakna.
4.0 Ujian-ujian audiometri
Ujian pendengaran adalah penting dilakukan untuk menentukan jenis dan tahap kepekakan seseorang. Ujian pendengaran adalah satu ujian yang dijalankan untuk menilai fungsi keseluruhan pendengaran individu. Ujian pendengaran juga penting kerana ia membantu mengesan sebarang masalah pendengaran dan kerosakan yang mungkin berlaku di bahagian dalam telinga. Di antara jenis-jenis ujian yang dijalankan ialah:
i. Ujian audiometri nada tulen (Pure-tune Audiometry)
ii. Ujian audiometri konduksi udara (Air-conduction Audiometry)
iii. Ujian audiometri konduksi tulang (Bone-conduction Audiometry)
iv. Ujian audiometri impedens (Impedance Audiometry)
v. Play Audiometry
vi. Evoked Respone Audiometry (ERA)
vii. Tympanometry
viii. Acoustic Reflex Testing
ix. Otoacoutic Emission (OAE)
x. Behavioral Observation Audiometry (BOA)
xi. Audotory Brainstem Respone (ABR)
xii. Visual Reinforcement Audiometry (VRA)
xiii. Auditory Steady-State Responses (ASSR)
4.1 Ujian audiometri nada tulen
Audiometri nada tulen adalah ujian yang menguji pendengaran dengan menggunakan berbagai jenis frekuensi. Selalunya frekuensi adalah daripada nada yang terendah ( 250Hz) hinggalah kepada nada yang tertinggi (8,000Hz). Audiometri nada tulen dilakukan dengan menggunakan audiometer. Audiometer adalah suatu instrumen elektrik. Ia mempunyai suis untuk memudahkan pemilihan nada yang diperlukan. Frekuensi yang selalu digunakan dalam ujian adalah 125, 250, 500, 1000, 1500, 2000, 3000,, 4000, 6000 dan 8000Hz. Intensiti yang digunakan pula adalah antara 10db HL sehingga 110dB HL (decibel hearing loss) dan 500Hz hingga 6,000 Hz. Pelaksaan ujian audiometri nada tulen yang dijalankan oleh audiologis adalah dengan cara menguji pesakit menggunakan fon telinga. Fon telinga berfungsi untuk menghalang kemasukan bunyi-bunyi lain yang tidak dikehendaki. Selain daripada itu, fon telinga juga berfungsi sebagai alat untuk mengalirkan nada ke telinga yang diuji.
Pesakit akan mengangkat tangan atau jari sekiranya mereka mengesan bunyi. Kemudian audiologis akan memperlahankan nada bunyi tersebut. Bunyi akan diperlahankan sehingga pesakit tidak dapat mendengar bunyi itu lagi. Proses ini akan diulangi dengan menggunakan tona atau frekuensi yang berbeza. Setiap telinga akan diuji secara bergilir-gilir. Ini kerana setiap telinga mempunyai sensitiviti bunyi yang berlainan. Selain daripada audiometri, terdapat juga audiometer outomatik. Melalui audiometer outomatik ini, pesakit akan menekan suis jika mereka mendengar apa-apa bunyi. Cara menggunakan audiometer automatik adalah menghendaki pesakit memegang suis. Nada bunyi akan meningkat intensitinya secara outomatik sehingga pesakit menekan suis. Apabila suis ditekan, nada bunyi akan menurun intensitinya sehingga pesakit melepaskan tekanan pada suis tersebut. Apabila suis dilepaskan bermakna pesakit tidak dapat mengesan bunyi yang terdapat di Unit Audiologi.
Fon telinga dipancarkan. Setiap nada pada satu frekuensi akan berbunyi selama dua minit. Selepas itu ia akan bertukar secara outomatik kepada frekuensi yang lain. Setiap telinga diuji secara bergilir-gilir. Seorang audiologis yang terlatih akan mengendalikan ujian audiometri nada tulen ini. Mesin audiometer akan membenarkan bunyi atau nada pada frekuensi , pitch dan kekuatan yang berbeza. Manakala nada yang digunakan boleh jadi dalam bentuk muzik atau sebagainya. Ujian hendaklah dijalankan di dalam bilik yang kalis bunyi untuk mengelakkan sebarang gangguan bunyi dari sumber-sumber luar. Ujian yang dilakukan mestilah mempunyai suasana yang sesuai. Peralatan yang digunakan juga dipastikan tepat agar kesahan dapat diperolehi. Perkara-perkara yang diambil kira semasa melakukan ujian audiometri nada tulen adalah seperti berikut:
a) Alat fon telinga penghalang bunyi (Earphone attenuation devices)
Fon telinga yang mempunyai cawan telinga yang lebih besar. Dilapisi dengan lapisan tebal agar dapat mengurangkan bunyi bising yang boleh menganggu keputusan ujian. Tidak berapa sesuai untuk kanak-kanak kerana berat dan besar.
b).Pemasangan fon telinga (Insert earphone )
Fon telinga dimasukkan terus ke dalam telinga.Pesakit perlu membuka dan menutup mulut beberapa kali supaya kedudukan tepat. Digunakan kepada pesakit dewasa dan kanak-kanak.
c.) Bilik kalis bunyi (sound-isolated chambers)
Dinding bilik dilapisi oleh bahan lembut seperti jubin akustik untuk menyerap bunyi dan gema. Pintu perlu teguh dan ditutup ketat. Dua reka bentuk iaitu satu bilik Audiologis sedang menjalankan ujian dan dua bilik. Bilik pertama adalah untuk segala peralatan dan pesakit ditempatkan di satu bilik. Bilik kedua menempatkan penilai dan audiometer sementara pesakit di bilik penilaian. Terdapat tingkap untuk tujuan komunikasi visual. Mikrofon, amplifier, dan pembesar suara atau fon telinga disediakan untuk membolehkan penilai mendengar jika pesakit bersuara. Kedudukan semasa ujian dilakukan juga penting. Pesakit tidak seharusnya berada dalam kedudukan yang menghadap ke arah penilai. Tujuannya supaya pergerakkan yang dilakukan oleh penilai samada besar atau kecil tidak menganggu tumpuan pesakit.
4.2 Audiometri Konduksi Udara (Air –condition audiometry)
Audiometri Konduksi Udara dijalankan untuk menentukan tahap sensitiviti pendengaran pesakit pada pelbagai frekuensi. Ujian ini adalah untuk menentukan darjah kehilangan pendengaran samada rendah, sederhana atau tinggi. Cara Ujian audiometri konduksi udara dijalankan adalah dengan memakai fon telinga dengan betul. Penyambung fon telinga (headband) perlu diletakkan betul-betul di atas kepala. Jika pesakit memakai cermin mata, perlu ditanggalkan kerana ia mungkin menganggu kedudukan fon telinga. Begitu juga dengan subang atau anting-anting. Pembesar suara pada fon telinga mesti diletakkan tepat pada salur liang luar telinga. Saiz fon telinga boleh dilaraskan supaya ianya muat baik pada telinga pesakit. Jika pesakit mempunyai masalah pada saluran telinga , insert earphone boleh digunakan. Alat ini akan dimasukkan ke dalam saluran telinga.
Alat tranducers terletak di penghujung alat ini diklipkan di baju pesakit. Warna biru adalah untuk telinga kiri dan merah untuk telinga kanan. Prosedur audiometri konduksi udara adalah seperti berikut: Pesakit mempunyai pilihan samada untuk memeriksa telinga kanan atau kiri dahulu. Audiologis akan mencadangkan agar memeriksa dan menguji telinga yang tidak bermasalah dahulu.Frekuensi yang digunakan oleh kebanyakan audiologis adalah 1000Hz. Frekuensi yang tinggi diuji secara menaik, manakala frekuensi yang rendah diuji secara menurun. Dalam teknik menurun, nada akan dibunyikan di atas ambang pendengaran. Nada akan semakin dikurangkan sehingga pesakit memberi isyarat mereka tidak dapat mendengar nada tersebut. Manakala dalam teknik menaik pula, nada dibunyikan di bawah ambang pendengaran. Nada akan semakin dinaikkan sehingga isyarat mendengar diberikan oleh pesakit. Nada yang digunakan adalah secara otomatik atau manual. Prosedur American Speech & Hearing Assosiation (ASHA) (1978) menggariskan, nada yang perlu digunakan pada permulaan ujian adalah 30db HL. Jika ada tindak balas. Nada dikuatkan pada 30db di atas ambang pendengaran. Jika tiada tindak balas, nada dikuatkan pada 50dB dan begitulah seterusnya dikuatkan sehingga tindak balas diperolehi. Setiap nada pada frekuensi yang berbeza akan dibiarkan selama satu ke dua saat. Semua keputusan dicatatkan di atas helaian data atau borang markah.
4.3 Audiometri Konduksi tulang (Bone- Conduction Audiometry)
Audiometri Konduksi Tulang adalah ujian yang dilakukan untuk mengetahui tahap sensitiviti sensorineural pesakit. Terdapat tiga situasi yang berlaku dalam audiometri kondiksi tulang, iaitu distortional bone conduction, inertial bone conduction dan osseotympanic bone conduction.
Distortional bone conduction iaitu apabila getaran dialirkan, tulang tempurung mengalami perubahan bentuk. Perubahan ini menyebabkan struktur pendengaran telinga dalam juga berubah. Inertial bone condition pula berlaku apabila terjadinya perubahan bentuk tulang tempurung menyebabkan rangkaian tiga tulang dalam telinga dalam bergetar. Pergerakan ini berlaku di dalam telinga dalam bunyi dialirkan ke otak. Manakala osseotympanic bone conduction pula ialah perubahan tempurung getaran dan melalui liang telinga luar. Beberapa getaran akan keluar daripada liang telinga. Sementara selebihnya masuk ke dalam liang dan menggetarkan membran timpanik di mana bunyi dapat didengari. Ukuran untuk audiometri tulang selalunya dilakukan di mastoid yang terletak di bahagian belakang telinga. Bahagian ini dijadikan tempat untuk mengukur kerana di bahagian ini nada Bone audiometry konduksi tulang dapat di dengar dengan kuat serta ia terletak berhampiran dengan telinga.
Sebelum melakukan ujian audiometri tulang, pastikan dahulu rambut dikebelakangkan sekiranya menggunakan alat getaran jalur aluminium di dahi. Alat getaran perlu diletakkan di bahagian tengah tempurung. Kedua-dua telinga tidak perlu ditutup. Boleh untuk menguji mana-mana telinga terlebih dahulu. Prosedur yang lain sama seperti audimetri konduksi udara. Kekeliruan mungkin berlaku semasa mentafsir keputusan audiometri konduksi tulang kerana audiologis tidak pasti telinga sebelah mana yang patut diuji. Ini kerana getaran samada di dahi atau mastoid akan menggetarkan bahagian dalam telinga kiri dan kanan. Sungguhpun begitu terdapat simbol-simbol yang mewakili telinga kiri dan kanan.
4.4 Audiometri Impedens (Impedance audiometric)
Audiometri impedens adalah satu ujian yang dijalankan untuk mengesan fungsi telinga tengah samada mengalami kebocoran atau tidak. Semasa ujian dijalankan, dua tiub kecil akan dimasukkan ke liang luar telinga. Bunyi daripada pembesar suara kecil akan dialirkan ke liang luar telinga melalui salah satu tiub berkenaan. Bunyi yang dipantulkan semula oleh timpanik membran akan ditangkap oleh tiub yang kedua dan disalurkan terus ke mikrofon, amplifier dan perakam. Apabila bunyi dialirkan ke telinga yang tidak diuji, otot stapedius akan bergerak. Impedens akan meningkat dan perakam akan merakam lebih banyak bunyi yang dipantulkan. Maklumat akan diperolehi daripada alat acoustic bridge. Melalui alat inilah audiologis akan dapat mendengar bunyi yang dipantulkan semula oleh mambran timpanik. Masalah kebocoran telinga tengah akan dapat dikenal pasti melalui alat ini.
Tujuan melakukan audiometri impedens adalah untuk mengetahui status membran timpanik dan telinga tengah melalui timpanometri. Selain itu ia bertujuan untuk menilai refleksi akustik (AR) yang melibatkan saraf cranial dan saraf otak auditori. Timpanometri adalah untuk mengukur kekerasan membrane timpanik dan sekali gus melihat fungsi telinga tengah. Ujian ini berguna dalam mengesan kehadiran cecair di dalam telinga, tekanan yang negative pada telinga tengah, kebocoran pada membran timpanik dan otosklerosis. Menggunakan alat yang dimasukkan ke liang telinga dan tekanan udara akan diberikan. Alat ini akan mengukur pergerakan membrane timpanik setiap kali tekanan diubah. Keputusan ujian ini akan dipaparkan dalam bentuk graf yang disebut sebagai timpanogram. Refleksi Akustik ialah melihat kontraksi pada otot stapedus dalam penyesuaian kepada bunyi yang kuat. Masalah pendengaran mungkin wujud apabila ambang pendengaran meningkat, refleksi yang mendatar dan bentuk refleksi yang luar biasa.
4.5 Play Audiometry
Ujian ini dijalankan ke atas kanak-kanak yang berumur 2 hingga 3 tahun. Ujian Play Audiometry ini juga amat berguna kepada kanak-kanak dewasa. Ujian ini adalah seperti ujian pengukuran penglihatan audiometry. Ujian ini memerlukan kanak-kanak melakukan aktiviti setiap kali bunyi diperdengarkan. Aktiviti memerlukan kanak-kanak untuk menghasilkan tindak balas atau tingkah laku yang berulang-ulang seperti menjatuhkan blok ke dalam kotak.
Ujian ini memerlukan kanak-kanak menunggu, dengar dan beri tindak balas. Sekiranya kanak-kanak tidak memberi tindak balas setelah bunyi diperdengarkan, maka bunyi akan diperdengarkan sekali lagi. Jika kanak-kanak masih tidak memberi respon, penguji akan membuat catatan tentang pendengaran kanak-kanak itu. Jika kanak-kanak memberi respon terhadap bunyi maka, penguji akan meneruskan dengan bunyi yang lebih perlahan dan seterusnya.
Penguji melatih kanak-kanak memberi respon apabila ada rangsangan bunyi tertentu. Contohnya, menjatuhkan blok ke dalam kotak. Isyarat bunyi boleh merupakan perkataan ‘go’, bunyi-bunyi frekuensi tertentu seperti nada tulen, bunyi vokal atau konsonan pada aras frekuensi atau intensiti yang tertentu dalam medan bebas.
4.6 Evoked Respone Audiometry (ERA)
Ujian ini sesuai untuk individu yang tidak boleh memberi tindak balas secara sukarela. Teknik ini melibatkan pengukuran perubahan gelombang otak dengan menggunakan ‘electroencecephalograph’ terhadap bunyi. Bunyi yang didengar akan mewujudkan isyarat elektrik dalam otak. Apabila suatu bunyi diterima oleh telinga normal satu impuls elektrik dijalankan oleh koklea, saraf dan seterusnya ke otak. Impuls itu dapat diukur computer melalui elektrod-elektrod yang diletakkan di bahagian kepala atau telinga tertentu.
4.7 Tympanometry
Cara menjalankan ujian ini adalah dengan memasukkan benda yang lembut ke dalam salur telinga untuk menghasilkan satu tekanan. Mobiliti system telinga tengah diukur dengan mengubahkan tekanan udara dalam salur telinga. Pada masa yang sama tekanan udara dalam telinga diukur.
Ujian ini hendaklah dicatatkan dalam borang tertentu yang dinamakan tympanogram. Jika kanak-kanak yang diuji itu mempunyai gegendang telinga yang pergerakkannya itu lemah, ia tidak akan menggerakkan bunyi dengan baik di telinga tengah serta menghasilkan pendengaran yang lemah. Manakala gegendang telinga yang bergerak secara perlahan mungkin menunjukkan bendalir di telinga tengah. Jika ada cecair itu di telinga tengah, membran tidak akan bergerak lancer dan garisan interpergran sekata sahaja. Seterusnya, kalau ada udara di telinga tengah pada peringkat yang lebih tinggi atau rendah di sekelilingnya akan bergerak.
4.8 Acoustic Reflex Testing
Semua individu yang mendengar secara normal mempunyai gerak balas akostik kepada bunyi. Apabila telinga mendengar bunyi yang kuat, otot stapedius dekat telinga tengah akan mengecut. Dalam ujian gerak balas akostik, alat audiologi akan pamerkan bunyi kuat dari 70 desibel hingga 100 desibel dan direkodkan sama ada gerak balas akostik hadir atau tidak. Tahap kenyaringan bunyi sama ada gerak balas akostik berlaku atau tidak hadir boleh menentukan tempat di mana masalah sepanjang laluan auditori. Disebabkan ukuran ini bukan dari reaksi sendiri, ia amat berguna kepada bayi dan kanak-kanak.
4.9 Otoacoustic Emission ( OAE )
Ujian ini digunakan untuk memastikan koklea bayi itu berfungsi. Otoacoustic emission ( oae ) ialah bunyi yang tidak boleh didengar terhasil apabila koklea dirangsang oleh bunyi. Dalam ujian ini, alat yang mengandungi pembesar suara atau mikrofon kecil dimasukkan ke dalam saluran telinga. Apabila koklea dirangsang dengan bunyi yang dapat didengar, sel rerambut akan bergetar serta menghasilkan bunyi yang tidak dapat didengar yang bergema kembali kepada tengah telinga Bunyi ini akan dikesan dan ditentukan oleh mikrofon itu sendiri. Pancaran ini akan dihasilkan oleh orang yang mempunyai pendengaran yang normal. Mereka yang mempunyai pendengaran yang kurang 25 desibel hingga 30 desibel tidak akan mengalaminya. Seterusnya, jika ada kehilangan pendengaran, reramabut dalam koklea tidak akan mengeluarkan bunyi.
4.10 Behavioral Observasition Audiometry (BOA)
Behavioral Observasition Audiometry (BOA) ialah satu bentuk pengujian pemerhatian yang bertujuan untuk melihat muka bayi dan perubahan tindak balas atau tingkah laku bayi terhadap bunyi yang di dengarnya. Ujian ini akan dijalankan oleh audiologist atau pakar yang dilatih untuk melihat tindak balas yang ditunjukkan oleh bayi. Ujian ini dijalankan kepada bayi sehingga tujuh bulan.
Perubahan yang akan ditunjukkan adalah seperti perubahan tingkah laku, corak perbuatan menghisap atau menyedut, keluasan membuka mata atau mencari tingkah laku. Perubahan dapat dilihat apabila bayi melihat kepada sesuatu sumber daripada punca bunyi. Ujian ini bertujuan untuk menentukan apa yang bayi atau kanak-kanak dengar.
BOA adalah kurang moden daripada ujian audiometry yang lain, tetapi ia masih digunakan. BOA ini juga harus dijalankan bersama ujian sokongan yang lain.
4.11 VISUAL REINFORCEMENT AUDIOMETRY (VRA)
Ujian ini biasanya dijalankan ke atas kanak-kanak dalam lingkungan umur antara 7 bulan hingga 3 tahun. Syarat untuk menjalankan ujian ini ialah bayi atau kanak-kanak dapat memandang ke satu arah tertentu apabila sesuatu rangsangan bunyi diberi. Ganjaran akan diberi untuk respon yang ditunjukkan oleh bayi atau kanak-kanak berkenaan.
Audiologist akan memperdengarkan bunyi frekuensi yang berbeza-beza, tahap kederasan yang berbeza-beza untuk menentukan kanak-kanak dapat mendengar atau tidak. Melalui pemerhatian, pengetahuan dan kemahiran dalam perkembangan kanak-kanak yang pekak, keputusan boleh dibuat mengikut tahap perkembangan pendengaran. Ini juga bergantung kepada kelajuan perbuatan sesuatu tindak balas terhadap bunyi yang didengarnya.
Prosedur menjalankan ujian ini ialah kanak-kanak diberi sesuatu untuk dimain. Suatu bunyi tertentu dikeluarkan melalui pembesar suara di bahagian kiri atau kanannya. Sekiranya kanak-kanak dapat menunjukkan respon dengan memusing kepala ke arah bunyi tersebut, ganjaran berbentuk cahaya berkilat, gambar kartun yang menarik dan boneka atau puppet akan diberikan.
4.12 Auditory Stedy-State Response ( ASSR )
Auditory Stedy-State Response ( ASSR ) bertujuan untuk Menguji masalah pendengaran dan sesuai digunakan kepada bayi baru lahir kerana ia membekalkan maklumat atau data yang spesifik tentang masalah pendengaran bayi. Auditory Stedy-State Response mengesan kerosakan pada koklea, saraf pendengaran dan saluran pendengaran ke pangkal otak. Hanya pakar audiologi sahaja yang boleh mengendalikan Auditory Stedy-State Response. Ia merupakan satu tindak balas otak iaitu ia akan menumbulkan rangsangan bunyi yang berterusan atau ‘stedy-state’. Ujian ini menggunakan bunyi yang berterusan untuk mendapatkan tindak balas atau maklumat tertentu. apabila alat dipasag pada bayi, maka satu bunyi yang nada atau bunyi yang terlampau akan berterusan akan terhasil sehingga menghasilkan satu bunyi ledakan kecil atau bunyi berdetik yang menandakan masalah pendengaran yang dihadapi pada tahap bunyi tersebut. Apabila otak mendapat rangsangan dan sokongan daripada ‘steady-state’, maka wujud tempoh nada atau bunyi yang terlampau .
Seterusnya langkah untuk membuat ujian ini ialah bayi dibiarkan tidur atau dibawah rawatan ubat pelali oleh pakar perubatan kemudian alat yang berupa tiub dilekatkan ke atas kulit kepala bayi bersambung dengan penyalur elektrik untuk mengetahui perbezaan frekuensi dan jumlahnya. Auditory Stedy-State Responsemenggunakan bunyi yang berterusan untuk mendapatkan tindak balas atau maklumat tertentu. Otak mendapat rangsangan dan sokongan daripada ‘steady-state’, maka wujud tempoh nada atau bunyi yang terlampau. Komputer akan membaca maklumat yang diperolehi dan melakar dan mencetak graf. Maklumat yang diperolehi akan diintepretasi oleh pakar audiologi.
5.0 Penutup
Sesungguhnya amat penting bagi semua ahli masyarakat mengetahui tentang perkhidmatan audiologi yang disediakan serta usaha-uasaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan khususnya dalam menangani masalah pendengaran. Pendedahan perkhidmatan audiologi ini amat penting agar masyarakat mengetahui tentang kewujudan prasarana kesihatan yang terdapat di Negara ini dalam menangani masalah pendengaran. Semua organ badan yang diciptakan untuk manusia adalah penting dan mempunyai peranan dan fungsi masing-masing. Kegagalan satu organ berfungsi menyebabkan kecacatan dan sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan dan kemampuan berdaya saing.
No comments:
Post a Comment